Tuesday, August 23, 2011

Kesan Pemanasan Global Menakutkan!

Sumber ekosistem yang ada telah digunakan ke paras maksimum dengan penangkapan ikan berlebihan dan pemupusan kawasan besar hutan. Enam bilion penduduk dunia kini menggunakan sumber asli bumi secara berlebihan dan tidak terkawal . Jika pemanasan global berterusan , manusia dan tamdunnya akan pupus sebagaimana pupusnya dinosaur.

Ramalan saintis menunjukkan peningkatan 7.0 meter paras laut, kawasan rendah seperti Kuala Muda (Kedah) dan Kelantan akan ditenggelami air. Keadaan monsun akan bertukar sama sekali kerana kita akan menerima lebih banyak hujan sewaktu monsun timur laut, yang bermakna lebih banyak kejadian banjir.

Kesedaran rakyat Malaysia dan amnya masyarakat dunia sukar ditingkatkan. Hanya 3 /10 rakyat Malaysia yang prihatin kepada isu-isu alam sekitar. Kejadian gempa bumi 26 Disember 2004 dan banjir besar di Johor adalah pengajaran terbaik. Mendidik bukanlah untuk membuat mereka cemas tetapi meminta mereka bertindak secara betul dan tepat.

Jadi, apa tunggu lagi? Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab yang perlu kita pikul bersama.

Monday, August 15, 2011

Mari Hasilkan Baja Kompos!

Ramai orang membeli baja untuk memastikan tanaman subur dan berkualiti. Tapi tahukah anda, sebenarnya baja yang dibuat sendiri, lebih murah, menjimatkan dan mudah dihasilkan.

Baja kompos misalnya adalah satu daripada baja yang tidak memakan kos yang tinggi.Ia dihasilkan melalui pereputan bahan organik dan pecah kepada bahan yang kaya dengan nutrien yang dipanggil “humus” melalui haba dan respirasi yang dilakukan oleh organisma dalam tanah (cacing, semut, bakteria dan kulat). Apa-apa sahaja bahan organik, contohnya daun dan sisa makanan boleh menjadi baja kompos. 

Pembuatan baja kompos dapat membantu menyelesaikan banyak masalah alam sekitar jika dilakukan dalam sesebuah komuniti dan disertai oleh ramai individu. Hampir 40 peratus daripada sampah sarap di rumah kita setiap hari terdiri daripada sayur-sayuran dan sisa dapur yang lain. Cara yang biasa dilakukan untuk menghapuskan sampah ini ialah dengan melonggokkan bahan yang berguna ini di tempat pembuangan sampah. Pembuatan baja kompos menggunakan bahan organik ini dengan mengitar semula sampah kepada humus yang kaya dengan nutrien.

Humus ialah baja tanah natural yang sangat baik. Dengan mencampurkannya dengan tanah, humus boleh membantu pokok membesar dengan lebih sihat dan lebih cantik TANPA bahan kimia! Petani tradisional dan pemilik ladang moden di Malaysia tahu menghargai kebaikan baja kompos untuk mengkayakan tanah dan mengurangkan bahan buangan. Humus juga boleh membantu membaikpulih tanah di kawasan-kawasan seperti bekas kuari.

Hampir apa sahaja bahan organik boleh dijadikan baja kompos. Bahan-bahan yang boleh dijadikan baja kompos termasuklah bahan yang kaya dengan nitrogen dan karbon, rumput, sayur-sayuran, kulit buah-buahan, daun kering, topi mengkuang, kulit telur, beg kertas, kertas atau karbod, daun teh, serpihan kayu, tulang-tulang kecil, serbuk kopi, serbuk papan, najis haiwan (lembu, ayam, kuda, arnab), sisa meja makan (nasi, roti) dan sebagainya.

Alam semulajadi memproses baja kompos setiap masa – apabila daun gugur ke tanah, apabila haiwan membuang najis mereka, dan apabila semua makhluk mati. Alam mempunyai komuniti khas yang membantu memecahkan bahan-bahan ini dan menukarnya kepada nutrien yang berguna kepada semua tumbuh-tumbuhan. Komuniti ini dikenali sebagai komuniti detritus, dan ia termasuklah bakteria, kulat dan cacing. Proses penghasilan baja kompos hanya memerlukan beberapa elemen asas: bahan organik, organisma tanah, air, oksigen dan haba. Sisa organik seperti daun, sayur-sayuran dan kulit buah-buahan, daun teh, serbuk kopi dan kertas tisu semuanya boleh dijadikan baja kompos.
                   
Rumput yang telah dipotong adalah bahan terbaik untuk dibuat baja kompos dan ia juga mereput dengan cepat. Sisa organik lain seperti kulit telur, kulit manggis dan bahan organik keras yang lain akan mengambil masa yang lebih untuk mereput.

Organisma tanah juga penting dalam pembuatan baja. Kebanyakan komuniti akan “muncul” perlahan-lahan apabila anda mula melonggokkan bahan ini di tanah. 

Membina Longgokan Baja Kompos

Campurkan daun reput dan tanah dari hutan atau dari belakang rumah anda. Organisma tanah telahpun berada dalam bahan ini dan akan membina komuniti baru dalam longgokan baja anda.

Kadar kelembapan yang betul juga penting untuk menghasilkan baja yang sihat. Mikroorganisma memerlukan persekitaran yang lembap untuk penghantaran nutrien. Jika timbunan itu terlalu kering, proses penghasilan baja berjalan perlahan. Jika timbunan itu terlalu lembap, tanah akan menjadi berat dan oksigen akan tertekan keluar, menyebabkan longgokan itu mereput dan berbau busuk. Longgokan harus dibiarkan lembap tetapi tidak basah, seperti span yang telah diperah. Cuba gunakan air hujan sebanyak mungkin untuk mengekalkan kelembapan longgokan.

Perlu juga diingat bahawa organisma tanah dan bakteria memerlukan oksigen untuk hidup. Tanpa bekalan oksigen yang berterusan, organisma yang penting ini akan mati dan akan digantikan dengan organisma yang anda tidak perlukan. Jika ini berlaku, longgokan baja anda akan mula berbau busuk. Untuk mengelakkan ini berlaku, longgokan baja mestilah dibalik-balikkan sekali dalam tiga minggu untuk membawa bahan yang di bawah ke atas dan sebaliknya.

Satu longgokan baja kompos mempunyai “suhu optima” di mana proses pereputan berlaku paling cepat. Walau bagaimanapun, hawa di kawasan tropika sudah cukup sesuai untuk penghasilan baja dan kita tidak perlu bimbang tentang perkara ini.
En. Abdullah Bakri menerangkan kaedah penghasilan baja kompos kepada 
En. Ng Ngoo Ting, pembantu khas Setiausaha Ahli Parlimen Lumut

Menghasilkan longgokan baja kompos adalah perkara mudah. Sebuah rumah yang mempunyai ruang kebun yang luas memerlukan kawasan seluas kira-kira 1.21 meter hingga 1.524 meter panjang kali 1.22 meter lebar dan kira-kira 0.9144 meter tinggi. Anda boleh gunakan kayu dan dawai untuk membuat tong baja. Longgokkan baja ini sehingga separuh daripada tong, dan apabila anda membalik-balikkan longgokan, balikkannya ke setengah bahagian tong yang satu lagi. Dengan cara ini anda boleh mencampurkan bahan-bahan longgokan dan mengeluarkan baja yang telah siap dengan mudah.

Bagi kebun yang lebih kecil, anda boleh gunakan bekas air atau tong sampah buruk dengan membuat lubang pada tepi dan bawah bekas. Buatkan satu pintu yang terbuka di bawah bekas atau buangkan terus bahagian bawah tong. Dengan cara ini anda boleh mengeluarkan humus semasa menambah bahan buangan baru di bahagian atas, membolehkan proses penghasilan baja berjalan secara berterusan.

Lebih baik jika anda memotong sayuran yang besar dan kertas suratkhabar kepada cebisan-cebisan kecil untuk mempercepatkan pereputan. Elakkan dari menambah banyak buah-buahan sitrus kerana bahan ini boleh membuatkan humus terlalu berasid dan ia mungkin akan merosakkan pokok-pokok.
 
Juga elakkan dari menambah rumput menjalar dan biji benih yang mungkin tahan reput. Jangan tambah najis kucing atau anjing pada longgokan baja. Najis kucing mengandungi bakteria perosak yang tahan reput. Daging, tulang dan sisa makanan berlemak harus dielakkan. Bahan-bahan ini sering menarik perhatian haiwan perosak seperti tikus. Tambahan pula, makanan berlemak lambat reput kerana lemak boleh menghalang kemasukan udara yang diperlukan oleh mikrob pereput untuk membuat kerja mereka.

Pokok yang tumbuh berdekatan dengan longgokan baja akan bersaing dengan mikroorganisma untuk mendapatkan nitrogen. Jika ada pokok berdekatan dengan tong baja, pastikan anda menambah banyak bahan-bahan yang kaya dengan nitrogen untuk mengurangkan kehilangan nutrien.

Jika penghasilan baja dilakukan dengan betul, longgokan tersebut sentiasa lembap dan dibalik-balikkan dengan kerap, longgokan itu sepatutnya berbau seperti daun basah atau seperti bau dalam hutan. Ia tidak sepatutnya berbau busuk!
Pokok rozel di SMKBS yang disuburkan menggunakan baja kompos

Anda sepatutnya mula mendapat humus dalam masa tiga bulan atau kurang. Penghasilan baja kompos ialah satu aktiviti yang mudah dan boleh dijadikan sebahagian daripada rutin harian anda.
 
(Terima kasih kepada En. Abdullah Bakri, guru Sains Pertanian yang membantu penyiaran artikel ini)

Saturday, August 13, 2011

Kemusnahan Alam Sekitar Berpunca Daripada Kerakusan Manusia


 Ketulan ais di kutub semakin mencair akibat pemanasan global
 
Alam merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai harganya kepada umat manusia. Alam sekitar merangkumi segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di muka bumi. Namun kini anugerah tersebut dipersia-siakan oleh segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab.  Kemusnahan alam sekitar sering dikaitkan dengan pembangunan secara rakus, khususnya di negara yang mengejar kemajuan.
Terdapat beberapa punca yang mendorong berlakunya kemusnahan alam sekitar. Antaranya adalah kurang kesedaran kita tentang kepentingan melestarikan alam sekitar demi kelangsungan hidup makhluk bumi. Hal ini berlaku kerana kurang pendedahan diberikan oleh ibu bapa, guru dan masyarakat terhadap generasi  muda. Pembuangan sampah di merata-rata tempat misalnya, menunjukkan kurangnya kesedaran kita terhadap alam sekitar.
 Pokok cengal terbesar di Malaysia, hanya ada sepokok di Terengganu
Selain itu, penerokaan hutan secara giat oleh segelintir manusia yang rakus mengejar keuntungan turut menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar. Penerokaan hutan telah menjejaskan fungsi pokok-pokok besar dalam keseimbangan ekosistem hutan hujan. Selain itu, hutan juga diteroka untuk penanaman sayur dan buah-buahan seperti yang berlaku di Cameron Highlands. Tanpa kawalan dan penguatkuasaan yang tegas, ia telah mengakibatkan tragedi di Pos Dipang dan yang terbaru di Perkampungan Orang Asli Sungai Rui, telah meragut tujuh nyawa tidak berdosa.
Selain itu, faktor pembalakan haram juga tidak boleh diketepikan.  Pembalakan secara tidak terkawal memusnahkan tanaman tutup bumi dan menyebabkan hakisan di lereng bukit, banjir kilat dan memudahkan proses tanah runtuh berlaku. Pokok-pokok di lereng bukit menjadi benteng mengelakkan gelongsoran tanah telah ditebang sewenang-wenangnya. Ia juga memusnahkan spesis tumbuhan bernilai tinggi seperti cengal batu, meranti dan menyumbang kepada kepupusan pokok yang dilindungi. Ini diburukkan lagi oleh penebusgunaan hutan paya bakau menjadi kolam udang dan penempatan. Hutan paya bakau berperanan menghalang ombak  tsunami seperti yang berlaku pada 26 Disember 2004. Selain kedudukan negara ini yang jauh daripada pusat gempa, kesan tsunami tidak seteruk di Aceh, Indonesia kerana hutan paya bakau menjadi benteng kepada hentaman ombak besar tersebut.
Kemusnahan alam sekitar mengakibatkan sektor pelancongan negara terjejas. Hal ini disebabkan keindahan semula jadi negara kitalah yang menjadi aset menarik minat pelancong luar ke negara kita.  Ini akan turut menjejaskan ekonomi kerana pelancongan turut menyumbang sejumlah besar KDNK negara. Malah, kemusnahan alam sekitar turut mengakibatkan gangguan binatang buas dan liar seperti harimau, ular dan kera kerana haiwan-haiwan ini kehilangan habitat asal mereka. Kehilangan tempat tinggal dan sumber makanan memaksa ia menceroboh ke kawasan kediaman manusia. Kemusnahan alam sekitar turut menyebabkan kepupusan flora dan fauna yang estetik yang merugikan generasi akan datang.
Kesimpulannya, agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat harus memainkan peranan masing-masing agar alam sekitar dapat dilestarikan keindahannya. Kita harus sedar bahawa kita bukan mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada anak cucu kita. Jika alam sekitar dimusnahkan, generasi akan datang tidak dapat lagi mempelajari habitat hutan tertua di dunia.

SITI KHADIJAH BINTI OTHMAN(kelas 5PI)
SMK BATU SEPULUH, LEKIR
32020 SITIAWAN PERAK
 
Pendapat ini telah disiarkan di akhbar Berita Harian pada 11 Ogos 2011 (halaman 34)

Monday, August 8, 2011

PERANAN BAGI MENYELAMATKAN BUMI

Say No To Plastic Bags
  • Bawa beg sendiri apabila membeli belah . Beg plastik tidak mesra alam dan tidak boleh terbiodegrasi.
  • Kongsi maklumat dan panduan yang dipelajari tentang penggunaan lestari dengan keluarga dan rakan-rakan.
  • Menunggang basikal atau berjalan kaki apabila pergi ke sesuatu tempat atau kedai yang berdekatan. Ini merupakan amalan 100% mesra alam dan menyihatkan tubuh badan.
  • Tutup televisyen , stereo dan komputer apabila tidak digunakan kerana peralatan ini menggunakan di antara 10% hingga 60% sumber tenaga. Ini boleh menyumbang kepada pemanasan global.
  • Membawa bekalan ke tempat kerja atau sekolah . Makanan ini lebih menyihatkan dan menjimatkan.
  • Kumpulkan kertas yang digunakan di rumah dan bawa ke pusat kitar semula. Mengitar semula produk berasaskan kayu dapat menyelamatkan berjuta-juta pokok setahun.
  • Hentikan penggunaan racun makhluk perosak. Tanam tumbuh-tumbuhan tertentu di kebun anda, seperti pudina dan selasih yang boleh menghalau serangga
  • Gunakan lampu jenis kalimantang . Lampu jenis ini menggunakan 1/4 tenaga elektrik dan empat kali lebih tahan lama berbanding mentol lampu biasa.
  • Kurangkan pembuangan sampah. Jangan gunakan produk pakai buang seperti pinggan kertas, cawan plastik atau kertas tisu.
  • Menjimatkan penggunaan air turut menjimatkan tenaga elektrik kerana proses membekalkan air dan menyaring sisa kumbahan menggunakan tenaga elektrik yang banyak.

Jimatkan tenaga eletrik


Kitar semula kertas


Wednesday, August 3, 2011

Pelancaran Rakan Alam Sekitar Parlimen Lumut Meriah

Pada 23 Julai 2011, bertempat di SK Seri Bayu, satu majlis pelancaran Rakan Alam Sekitar (RAS) Parlimen Lumut telah diadakan. Ia dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Lumut, Dato' Seri Kong Cho Ha. Majlis tersebut diadakan di dewan SK Seri Bayu dan dihadiri oleh guru, ibu bapa dan wakil-wakil agensi berkaitan seperti Jabatan Pertania, Majlis Perbandaran Manjung (MPM)  dan Jabatan Hutan.

Dalam ucapannya, Dato' Seri Kong Cho Ha menyatakan kebimbangan akan nasib alam sekitar pada abad akan datang. Beliau juga kagum dengan pameran yang dibuat oleh SMK Batu Sepuluh, Lekir. Antara bahan pameran yang disediakan di kiosk SMKBS adalah penyediaan baja kompos, pameran bahan terbuang dan hasil penanaman pokok rozel yang dijadikan produk makanan.

En. Sarudian, guru Seni Reka Tanda menerangkan 
tentang hasil kerja pelajar dari bahan terbuang
Selain itu, hasil kerja pelajar daripada bahan terbuang dan baja kompos turut mendapat perhatian daripada para pengunjung kiosk. Apa yang lebih menarik adalah, kulit-kulit siput dan moluska turut dijadikan hiasan pada karya pelajar. 
 
Para tetamu menikmati minuman daripada rozel yang dihasilkan 
oleh guru dan pelajar Pendidikan Khas
 
Dalam majlis tersebut juga, pengetua telah menerima replika cek sebanyak RM10,000.00 yang dibuat daripada hampas kelapa sawit dan kertas terbuang. Peruntukan tersebut adalah bagi melaksanakan program "Flagship" Sekolah Lestari yang akan dinilai oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada bulan Ogos nanti.

 
Pengetua SMKBS dan Guru Besar SKSB menerima cek mora
yang diperbuat daripada hampas kelapa sawit
Menurut Pengetua, Haji Shaifuddin bin Hj Masduki, hanya dua sekolah yang menerima peruntukan tersebut iaitu SMKBS dan SK Seri Bayu. Beliau berbangga kerana SMKBS dipilih menerima anugerah Sekolah Lestari dan bertekad untuk menjayakan program yang telah disediakan oleh guru dan pelajar. Antara projek yang dilaksanakan adalah Taman Herba, penghasilan baja kompos, baja daripada bahan makanan, rozel dan kebun pisang lestari.

Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru dan pelajar yang memberikan komitmen yang tinggi untuk menjayakan projek RAS dan Sekolah Lestari 2011.

Majlis yang bemula pada pagi hari tersebut, turut diserikan dengan pertandingan mewarna untuk murid-murid prasekolah dan sekolah rendah serta persembahan sketsa murid Pendidikan Khas SMKBS yang mencuit hati para penonton.

Babak sketsa yang dilakonkan oleh murid Pendidikan Khas