Ketulan ais di kutub semakin mencair akibat pemanasan global
Alam merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai harganya kepada umat manusia. Alam sekitar merangkumi segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di muka bumi. Namun kini anugerah tersebut dipersia-siakan oleh segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Kemusnahan alam sekitar sering dikaitkan dengan pembangunan secara rakus, khususnya di negara yang mengejar kemajuan.
Terdapat beberapa punca yang mendorong berlakunya kemusnahan alam sekitar. Antaranya adalah kurang kesedaran kita tentang kepentingan melestarikan alam sekitar demi kelangsungan hidup makhluk bumi. Hal ini berlaku kerana kurang pendedahan diberikan oleh ibu bapa, guru dan masyarakat terhadap generasi muda. Pembuangan sampah di merata-rata tempat misalnya, menunjukkan kurangnya kesedaran kita terhadap alam sekitar.
Pokok cengal terbesar di Malaysia, hanya ada sepokok di Terengganu
Selain itu, penerokaan hutan secara giat oleh segelintir manusia yang rakus mengejar keuntungan turut menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar. Penerokaan hutan telah menjejaskan fungsi pokok-pokok besar dalam keseimbangan ekosistem hutan hujan. Selain itu, hutan juga diteroka untuk penanaman sayur dan buah-buahan seperti yang berlaku di Cameron Highlands. Tanpa kawalan dan penguatkuasaan yang tegas, ia telah mengakibatkan tragedi di Pos Dipang dan yang terbaru di Perkampungan Orang Asli Sungai Rui, telah meragut tujuh nyawa tidak berdosa.
Selain itu, faktor pembalakan haram juga tidak boleh diketepikan. Pembalakan secara tidak terkawal memusnahkan tanaman tutup bumi dan menyebabkan hakisan di lereng bukit, banjir kilat dan memudahkan proses tanah runtuh berlaku. Pokok-pokok di lereng bukit menjadi benteng mengelakkan gelongsoran tanah telah ditebang sewenang-wenangnya. Ia juga memusnahkan spesis tumbuhan bernilai tinggi seperti cengal batu, meranti dan menyumbang kepada kepupusan pokok yang dilindungi. Ini diburukkan lagi oleh penebusgunaan hutan paya bakau menjadi kolam udang dan penempatan. Hutan paya bakau berperanan menghalang ombak tsunami seperti yang berlaku pada 26 Disember 2004. Selain kedudukan negara ini yang jauh daripada pusat gempa, kesan tsunami tidak seteruk di Aceh, Indonesia kerana hutan paya bakau menjadi benteng kepada hentaman ombak besar tersebut.
Kemusnahan alam sekitar mengakibatkan sektor pelancongan negara terjejas. Hal ini disebabkan keindahan semula jadi negara kitalah yang menjadi aset menarik minat pelancong luar ke negara kita. Ini akan turut menjejaskan ekonomi kerana pelancongan turut menyumbang sejumlah besar KDNK negara. Malah, kemusnahan alam sekitar turut mengakibatkan gangguan binatang buas dan liar seperti harimau, ular dan kera kerana haiwan-haiwan ini kehilangan habitat asal mereka. Kehilangan tempat tinggal dan sumber makanan memaksa ia menceroboh ke kawasan kediaman manusia. Kemusnahan alam sekitar turut menyebabkan kepupusan flora dan fauna yang estetik yang merugikan generasi akan datang.
Kesimpulannya, agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat harus memainkan peranan masing-masing agar alam sekitar dapat dilestarikan keindahannya. Kita harus sedar bahawa kita bukan mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada anak cucu kita. Jika alam sekitar dimusnahkan, generasi akan datang tidak dapat lagi mempelajari habitat hutan tertua di dunia.
SITI KHADIJAH BINTI OTHMAN(kelas 5PI)
SMK BATU SEPULUH, LEKIR
32020 SITIAWAN PERAK
Pendapat ini telah disiarkan di akhbar Berita Harian pada 11 Ogos 2011 (halaman 34)
satu usaha yang bagus..mungkin selepas ni kita boleh minta kepada pelajar-pelajar untuk menghasilkan artikel berkaitan alam sekitar untuk diupload di blog ini...
ReplyDeleteSalam, moga blog ini dapat dimanfaatkan untuk melestarikan alam sekitar.
ReplyDelete