Tuesday, February 7, 2012

KITAR SEMULA TELEFON BIMBIT UNTUK KESEJAHTERAAN ALAM SEKITAR


Berdasarkan kepada statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sebanyak 30,379 jumlah langganan telefon bimbit dicatatkan pada suku keempat bagi tahun 2009, manakala hanya 4,312 jumlah langganan dicatatkan pada masa sama untuk Direct Exchange Line (DEL) Connection. 

Ini menunjukkan berlakunya peningkatan kepada kadar penggunaan telefon bimbit di Malaysia berbanding penggunaan talian tetap. Statistik ini sekaligus meramalkan peningkatan kadar penghasilan sisa elektronik setiap tahun.

Jangka hayat sesebuah bateri telefon bimbit dianggarkan lebih kurang 3 tahun sahaja. Secara purata, pengguna telefon bimbit akan menukarkan bateri telefon atau telefon bimbit  mereka setiap 18 bulan sekali. Kebiasaannya bateri atau telefon bimbit yang rosak ini akan terus dibuang ke dalam tong sampah. Kaedah pembuangan yang diamalkan ini akan memberikan kesan negatif terhadap alam sekitar. 

Dalam kajian terbaru yang dilakukan oleh syarikat pengeluar telefon bimbit terkemuka, Nokia,  menunjukkan 44 peratus responden memilih untuk menyimpan telefon bimbit yang tidak digunakan lagi di rumah, 33 peratus memberinya kepada orang lain, 16 peratus menjualnya dan empat peratus membuangnya di tapak pelupusan sampah. Hanya tiga peratus yang mahu mengitar semula telefon bimbit. Kajian sama turut mendedahkan 72 peratus daripada responden tidak tahu bahawa telefon bimbit boleh dikitar semula. Mungkin kerana kitar semula telefon bimbit tidak sepopular kertas atau tin minuman.

Komponen Telefon Bimbit yang Boleh Dikitar Semula termasuklah: 
- Keseluruhan komponen telefon bimbit
- Bateri 
- Pengecas bateri (battery charger)
- Peralatan tambahan (accessories) lalin seperti Antenna, Bluetooth, Hands free, Plastic Casing & Keypad

Bateri telefon bimbit terpakai mengandungi logam berat seperti kadmium, litium, nikel atau merkuri. Bahan buangan ini dikelaskan sebagai e-waste (SW 103) mengikut jadual 1, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Pelupusan bahan buangan ini secara tidak sempurna boleh mengakibatkan percemaran kepada alam sekitar, terutamanya tanah-tanih dan air bawah tanah serta menjejaskan kesihatan awam.

Safra Aina Adnan
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
26 Mei 2010


1 comment: